Ku Kirim Cinta

Terbaru di Slot Akasia, Drama Ku Kirim Cinta lakonan Ayda Jebat dan Redza Rosli. Drama terbitan Saphire Screen Sdn Bhd diarahkan oleh Raja Ahmad Alauddin dan skrip Mazelan Manan. Bersiaran 28 episod drama ini memulakan siarannya pada 22 Mei 2017.

Klik Disini untuk Tonton Drama

Para Pelakon

Ayda Jebat, Redza Rosli, Fahad Iman, Julia Farhana, Roy Azman, Nazia Mustafar, Zarina Zainuddin, Wilma Muhammad

Sinopsis Ku Kirim Cinta

Zarul dan Nisha terkenal sebagai pasangan paling romantik di kolej mereka. Kehebatan Zarul merangkai ayat-ayat cinta memang memukau. Selepas menamatkan pengajian Diploma, Nisha ditawarkan belajar di Australia, manakala Zarul meneruskan pengajian ijazah di tanah air.

Ketika Nisha di Autsralia, percintaan mereka diteruskan lewat e-mail dan WhatsApp. Setahun kemudian, Zarul disahkan menghidapi leukimia tahap kritikal dan hayatnya tidak lama. Zarul menyembunyikan penyakitnya daripada Nisha dan membalas kiriman rindu Nisha seperti biasa.

Apabila keadaan Zarul makin kritikal, Zarul meminta sepupunya Farhan menyamar sebagai dia untuk membalas e-mail dan WhatsApp Nisha kerana tidak mahu pelajaran Nisha terganggu. Jika dia ditakdirkan meninggal, Zarul mahu Farhan terus melayani Nisha sehingga Nisha habis belajar.

Tonton Drama-drama Melayu Yang Lain Disini

Episod 1

Zarul sedang `video call’ melalui komputer riba dengan Nisha yang berada di Australia ketika sepupunya Farhan sampai ke rumahnya. Mereka merancang untuk menonton wayang. Zarul tidak hiraukan Farhan, sebaliknya terus berbual dengan Nisha. Nisha memberitahu, tidak lama lagi dia akan menghadapi peperiksaan akhir dan meminta Zarul sentiasa mendoakan kejayaannya setiap kali lepas Solat. Farhan yang kebosanan menunggu, membebel tentang Zarul yang selalu lembab di depan ibu Zarul, Fatimah. Farhan bimbang tiket wayang akan kehabisan memandang cerita yang bakal mereka tonton sedang hangat di pawagam. Kerana tidak tahan sabar, akhirnya Farhan ke bilik Zarul. Tanpa mengetuk pintu, Farhan terus masuk, menyebabkan Zarul kurang senang dan pantas menutup komputer riba. Farhan yang perasan Zarul sedang video call dengan kekasihnya, mendesak untuk melihat kekasih Zarul, bagaimanapun Zarul tidak membenarkannya. Manakala ibu Nisha, Maisara risau kerana pendapatan perniagaan resortnya semakin merosot.

Episod 2

Hamid yang sedang berbincang dengan rakan perniagaannya, Salmi yang merupakan seorang ibu tunggal kematian suami sejak lima tahun lalu, terkejut apabila diberitahu oleh isterinya Fatimah yang Zarul pengsan dan dimasukkan ke hospital. Hamid minta maaf dengan Salmi kerana terpaksa membatalkan perbincangan mereka. Salmi akur dengan senang hati kerana dia faham perasaan Hamid yang begitu rapat dengan anak tunggalnya itu. Apabila mendengar berita tentang Zarul daripada Farhan, Zainab (ibu Farhan) turut ke hospital. Begitu juga dengan Khalid, memandangkan Fatimah adalah adiknya, walaupun mengetahui kehadiran Zainab di hospital, dalam keadaan terpaksa dia tetap bergegas ke hospital. Pertemuan Khalid dengan Zainab menampakkan tanda-tanda yang mereka saling kurang menyenangi di antara satu sama lain. Bagaimanapun Farhan merayu supaya mereka tidak menimbulkan masalah dalam suasana masing-masing risau dengan apa yang berlaku terhadap Zarul.

Episod 3

Walaupun menghidapi leukemia tahap kritikal, Zarul tetap melayani panggilan dan mesej serta video call daripada Nisha. Bagaimanapun dia tetap merahsiakan penyakitnya daripada Nisha kerana bimbang pengajian dan peperiksaan Nisha akan terjejas nanti. Dalam kesakitan melawan penyakit yang dideritai, Zarul terkenang saatsaat indah dia bersama Nisha ketika sama-sama menuntut di IPTA sebelum Nisha ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Australia. Zarul dan Nisha terkenal dengan jolokan pasangan paling romantik. Zarul seorang peminat puisi begitu bijak merangkai ayah-ayat cinta yang begitu memukau. Kekuatan cinta mereka juga bagaikan memberi semangat untuk mereka menggenggam cita-cita. Sebelum Nisha ke Australia dan Zarul menyambung pelajarannya di IPTA, mereka saling berjanji akan setia dan akan berkahwin setelah masing-masing tamat pengajian. Hamid dan Fatimah begitu risau dengan penderitaan yang ditanggung oleh Zarul, walaupun Zarul sentiasa bersikap positif dan cuba menjalani kehidupannya.

Episod 4

Hamid dan Fatimah mengadakan majlis doa selamat sempena Zarul pulang berehat di rumah. Salmi yang turut hadir meminta Fatimah banyak bersabar dengan dugaan Allah ke atas mereka. Fatimah sebaliknya meluahkan rasa risau dengan Hamid kerana Hamid begitu rapat dengan Zarul. Manakala Khalid yang turut hadir, inginkan kepastian Farhan sama ada Farhan sudah berbincang dengan Zainab atau tidak. Farhan harap Khalid dapat memberi sedikit masa untuk dia berbincang dengan Zainab. Zainab mula yang melihat Khalid begitu serius berbual dengan Farhan, mula mengesyaki sesuatu. Selepas majlis doa selamat, Zarul mendesak Farhan ke biliknya. Zarul terus merayu Farhan supaya berjanji akan melayani setiap mesej dan email daripada Nisha sekiranya dia tidak ada nanti. Alasan Zarul, dia tidak mahu pelajaran Nisha terganggu terutama saat-saat Nisha berdepan dengan peperiksaan akhir nanti. Permintaan Zarul dan desakan ayahnya, menyebabkan Farhan mula tidak keruan.

Episod 5

Farhan serba salah memikirkan persetujuannya dengan Zarul sekiranya berlaku sesuatu pada Zarul. Farhan teringat bagaimana satu hari ketika dia mencari Zarul di sebuah pusat membeli-belah, dia tergelak apabila melihat tapak kasut Nisha bertanggal. Nisha bengang dengan sikap Farhan. Mereka bertengkar dan kerana terlalu geram, Farhan telah mengutuk Nisha sebagai perempuan kampung yang tak tahu pakai kasut. Nisha membaling kasutnya ke arah Farhan, terkena muka Farhan. Farhan hendak menampar Nisha tetapi membatalkan hasratnya. Zainab bersemuka dengan Khalid dan memberi amaran supaya Khalid tidak menggunakan Farhan untuk kembali kepadanya. Zainab sudah serik dan bertaubat tidak akan memberi peluang kedua kepada Khalid. Khalid mengadu kepada Farhan. Farhan cuba menegur sikap Zainab yang terlalu keras dengan Khalid kerana waima siapa pun Khalid, Khalid tetap ayahnya. Zainab merajuk dengan Farhan. Ketika berada di hospital untuk rawatan seterusnya, Zarul berulangkali menerima panggilan.

Episod 6

Suasana pilu di hari pengkebumian Zarul. Farhan serba salah memikirkan janjinya dengan Zarul. Dia teringat saat-saat akhir dia bersama Zarul di katil hospital. Petang itu, di depan kedua Hamid dan Fatimah, sekali lagi Zahul mendesak Farhan supaya terus membalas mesej cinta Nisha kerana dua tiga hari lagi Nisha akan memulakan peperiksaan tahun akhirnya. Dalam keadaan terpaksa, Farhan beriya-iya berjanji akan tunaikan permintaan Zarul sekiranya apa-apa berlaku pada Zarul. Malam itu selepas tahlil Zarul, Farhan membawa balik telefon dan komputer riba Farhan. Dia gelisah membaca mesej daripada Nisha yang telah diutuskan oleh Nisha dan balasan-balasan mesej daripada Zarul. Sedang Farhan membaca mesej-mesej tersebut dan belajar mencari kata-kata yang indah serta sesuai untuk Nisha nanti, tibatiba telefon Zarul berbunyi. Farhan makin gelisah apabila mendapati panggilan daripada Nisha.

Episod 7

Hidup Farhan makin tidak keruan. Satu persatu masalah menimpannya. Akhirnya Farhan berjumpa dengan Khalid dan memberitahu dia amat sayangkan Khalid dan mahu keluarga mereka seperti dulu tetapi jika dia berterusan mendesak Zainab supaya menerima Khalid, hubungannya dengan Zainab akan jadi dingin. Justeru, dia minta maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaan Khalid. Khalid kecewa tetapi faham dengan situasi yang Farhan hadapi. Selepas berterus terang dengan Khalid, Farhan sedikit lega. Tapi, bagaimana pula dengan Liyana? Apakah dia sanggup melukakan hati Liyana. Sejak Liyana meluahkan perasaannya, Farhan sentiasa mencari alasan untuk menjauhkan diri daripada Liyana. Liyana sedar dan akhirnya memberitahu Farhan yang dia tidak kecewa jika Farhan tifdak dapat menerimanya kerana dia tahu gaya ala-ala tomboy dan tentunya tidak ada lelaki yang berkenan dengan dia. Farhan lega kerana dia tidak perlu berterus terang dengan Liyana yang dia tidak dapat menerima cinta Liyana.

Episod 9

Nisha begitu teruja menuju ke tempat dia dan Zarul sering bertemu dan tempat itu juga adalah tempat dia mana Zarul mula-mula melafazkan kata cinta kepadanya. Manakala Farhan pula jadi tidak keruan untuk membuat keputusan sama ada dia hendak berjumpa dengan Nisha atau pun tidak. Dalam keadaan dia tertekan seperti itu, Farhan didatangi Khalid dan meluahkan kekecewaan dan kekesalannya meninggalkan Zainab dan berpura-pura tidak sihat sejak berpisah dengan Zainab atas alasan kehidupannya sekarang serba tidak terjaga. Walaupun berulangkali Farhan memberitahu dia sudah berjanji dengan Zainab yang mereka tidak akan bercakap lagi soal Khalid ingin kembali ke pangkuan Zainab, namun Khalid tetap merintih untuk menarik simpati Farhan. Ini menyebabkan Farhan makin tertekan. Nisha tidak sabar menunggu kehadiran Zarul. Tanpa dia sedar, dari jauh Farhan memerhatikannya. Farhan serba salah untuk mendekati Nisha dan memberitahu perkara yang sebenarnya tentang Zarul.

 

 

Artikel Berkaitan

Ramadan ini dua drama gah bersaing ‘merebut’ perhatian umum iaitu Ku Kirim Cinta yang mengisi slot Akasia TV3, dan Hero Seorang Cinderella menerusi Astro Ria.

Kedua-dua drama ini membariskan pelakon popular yang mempunyai ramai peminat iaitu Ayda Jebat dan Redza Rosli dalam Ku Kirim Cinta, manakala Hero Seorang Cinderella mempertaruhkan gandingan Fattah Amin dan Fazura.

Walaupun belum disiarkan, pelakon dua drama ini dilihat seakan menggunakan formula digunakan drama Surihati Mr. Pilot, menampilkan Neelofa dan Fattah sebelum ini ‘menjual’ hubungan cinta di dalam dan luar lokasi.

Ternyata formula itu berjaya apabila drama Surihati Mr. Pilot mendapat perhatian dan Fattah sendiri mencipta populariti menerusinya sehingga diangkat sebagai Bintang Paling Popular BH 3.0, baru-baru ini.

Sebaik penggambaran dijalankan, kisah cinta antara Redza dan Ayda serta Fattah dan Fazura mula hangat diperkatakan. Malah, peminat turut mewujudkan ‘hashtag’ khas dalam laman sosial Instagram.

Menjaja kisah cinta juga dilihat menjadi sebahagian daripada strategi produksi dan stesen TV bagi memastikan karya mereka ditonton apabila disiarkan kelak.

Membicarakan isu ini, Redza yang ditemui dalam majlis previu hidangan sempena Ramadan anjuran Hotel ParkRoyal Kuala Lumpur, baru-baru ini menegaskan, soal sama ada dia dan Ayda menjaja kisah cinta bagi mempromosikan drama Ku Kirim Cinta adalah bergantung pada pandangan orang yang melihat.

Katanya, selaku pelakon, menjadi sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk mempromosikan drama yang dibintangi agar ia ditonton.

“Ada yang kata saya dan Ayda meniru cara Neelofa serta Fattah dengan menjual cerita cinta, tidak seharusnya dipersoalkan.

“Lagipun kami hanya memuat naik sedutan aksi dalam Ku Kirim Cinta menerusi laman sosial kami dan peminat sendiri bebas untuk memikirkan sama ada ia sekadar promosi drama atau sebaliknya,” katanya.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi telefilem Hidup itu menegaskan, orang menilai kejayaan sesebuah drama itu pada pelbagai sudut dan dalam situasi sekarang, soal jumlah tontonan menjadi keutamaan.

“Saya secara peribadi, selain rating ada dua perkara lagi menjadi faktor penting untuk menilai sama ada drama dibintangi itu berjaya atau tidak.

“Ia perlu dilihat bagaimana seorang pelakon itu membawa karakternya dan jalan cerita sendiri harus menarik sehingga membuatkan penonton mengikuti setiap episod,” katanya.

Mengenai isu cinta pula, Redza, 25, berkata, kalau benar pun perkara itu berlaku antara dia dan Ayda, ia tidak perlu menjadi isu memandangkan mereka memang ‘solo’ ketika ini.

Apapun, katanya, dia sedar tidak semua pihak suka apabila kisah cinta antara dia dan Ayda hangat diperkatakan. Malah, dia turut dikecam kerana kini rapat dengan Ayda.

Mengenai persaingan terutama apabila peminat drama tempatan akan membanding-bandingkan lakonannya dengan Fattah, jelas Redza, dia bersikap terbuka mengenai perkara itu.

Katanya, Hero Seorang Cinderella sentuhan pengarah yang pernah membantu dan membentuk lakonannya sebelum ini iaitu Michael Ang.

“Saya mengharapkan persaingan wujud secara sihat dan kritikan bakal diberikan itu boleh membina agar saya boleh memperbaiki kemampuan bakat dan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

“Apapun, saya sudah melakukan tanggungjawab sebagai pelakon dengan menjayakan watak sebaik mungkin. Sekarang terpulang kepada penonton untuk menilainya,” katanya.

Saksikan drama Ku Kirim Cinta 28 episod ini setiap Isnin hingga Khamis, jam 9 malam bermula esok. Ia turut dijayakan Fahad Iman, Julia Farhana, Roy Azman, Nadia Mustafar, Zarina Zainuddin dan Wilma Muhammad.

 

(Visited 393 times, 2 visits today)

You might be interested in

LEAVE YOUR COMMENT

Your email address will not be published. Required fields are marked *